Al Quran dan Hadis banyak menyebut tentang orang-orang Islam yang zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Kalau kita teliti betul-betul, kita akan dapati bahawa orang-orang yang dimaksudkan itu bisa dibagi-bagikan ke dalam beberapa kategori. Kalau kita kaji orang-orang yang dalam berbagai kategori ini, mungkin kita akan dapat faham kedudukan orang bertaqwa berbanding dengan orang-orang di kategori-kategori yang lain. Kita pun dapat mengukur di tahap mana diri kita, apakah kita sudah selamat atau belum.
Ada Empat Kategori Orang Islam ;
1. Orang Yang Abai
Artinya orang yang mengabaikan Tuhan dan syariat Tuhan. Dia itu Islam
mungkin kerana neneknya Islam dan mak bapaknya Islam. Maka secara
automatik, dia pun Islam. Namun dia tidak fikir tentang Tuhan dan tidak fikir
tentang syariat Tuhan. Dia tidak fikir tentang ibadah dan dia tidak fikir
tentang halal dan haram. Tuhan ada atau tidak, tidak penting baginya. Tuhan ada
atau tidak ada, sama sahaja baginya. Begitulah rasa hati orang yang mengabaikan
Tuhan.
Dia hidup mengikut gaya dan corak yang disukainya. Tidak mengikut syariat yang
ditetapkan oleh Islam. Lebih tepat lagi, dia mengikut hawa nafsunya. Kalau kita
tanya apa agamanya, dia kata dia Islam. Tetapi Islam itu tidak nampak pada
dirinya, peribadi dan tingkah lakunya. Islamnya hanya berdasarkan keturunan dan
warisan.
2. Orang Yang Cuai
Ini baik sedikit dari orang yang abai. Orang cuai ini, dia rasa bertuhan
tetapi di waktu-waktu yang tertentu saja terutama di waktu dia susah, di waktu
dia sakit dan di waktu dia diuji. Di waktu-waktu itu dia mengeluh, " Wahai
Tuhan !!" Waktu senang, dia langsung tidak ingat Tuhan.
Ibadahnya mengikut keadaan. Apabila dia tidak sibuk dia beribadah ala kadar.
Apabila dia sibuk atau dia tidak ada mood , dia tidak sembahyang dan
tidak puasa. Begitu juga dengan perkara halal haram. Ada waktu dan dalam
sesetengah hal, dia tidak kerjakan yang haram. Pada waktu dan dalam sesetengah
hal yang lain pula, dia santai saja mengerjakan yang haram. Dengan kata-kata
yang lain, orang yang cuai ini, dia kerjakan sedikit tetapi banyak yang dia
tidak kerjakan. Sebahagian kecil dia kerjakan , sebaha-gian besar dia
tinggalkan. Atau dia kerjakan suruhan agama ber-musim-musim. Dia tidak merasa
menyesal dan tidak merasa bersalah atau berdosa di atas semua itu.
3. Orang Yang Lalai
Orang ini, soal lahiriahnya termasuk ibadahnya sangat baik dan tidak dapat
dipertikaikan. Semuanya selesai, semuanya beres. Kalau dipandang secara lahir,
orang akan mengatakan dia orang saleh, orang baik, ahli ibadah. Segala rukun
Islam dikerjakannya, ditambah pula dengan yang sunat-sunat. Dia kerjakan umrah,
baca Quran, wirid dan zikir. Tasbih sentiasa di tangan. Orang ramai sekam-pung
memujinya. Mereka kata, " Baik orang itu ."
Amalan agamanya yang lahir beres. Syariat lahirnya selesai. Yang tidak selesai
dan yang tidak beres ialah hatinya. Semakin banyak beribadah, dia semakin
tamak, semakin bakhil, semakin hilang rasa takut kepad Tuhan, semakin tidak ada
rasa hamba dan dia merasa selamat sama ibadahnya yang banyak itu. Dia tertipu
sama sembahyang dan ibadah-ibadahnya yang lain. Orang melihat dia seperti
beragama tetapi hakikatnya dia adalah orang yang lalai. Manusia kata dia baik
tetapi Tuhan kata dia tidak baik sebab hatinya tidak takut dan tidak cinta pada
Tuhan. Dia masih megah, angkuh, cinta dunia dan gila puji walaupun
sembahyangnya banyak, puasanya banyak, baca Quran, wirid dan zikirnya banyak.
Tuhan kata dia orang yang lalai. Walaupun dia tidak lalai dengan ibadah
lahiriah tetapi hatinya lalai dengan Tuhan.
Hakikat ini membuatkan kita cemas. Orang yang dianggap beragama pun tidak
selamat kerana faktor lalai. Dan lalai itu bukan perkara lahir tetapi perkara
hati. Tidak takut Tuhan, tidak takut dengan dosa, itu termasuk lalai walaupun
sembahyang banyak, puasa banyak, wirid, zikir dan baca Quran banyak.
4. Orang Yang Bertaqwa
Walaupun dia buat ibadah yang wajib saja dan yang sunat kurang, namun kepada Tuhan hatinya sentiasa bergelombang dan bergelora macam air laut yang tidak pernah tenang. Dia kurang kerjakan ibadah-ibadah sunat yang kecil-kecil sebab terlalu sibuk, terlalu letih dan tidak ada waktu kerana terlalu banyak membantu dan menolong manusia serta membuat kerja-kerja masyarakat. waktunya banyak dimanfaatkan untuk orang ramai. Ibadah hablumminallahnya kurang tetapi yang hoblumminan-nasnya banyak. Ibadah ini lebih besar pahalanya dari ibadah-ibadah sunat.
Rasulullah SAW ada bersabda:
Maksudnya: "Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain."
Memberi manfaat kepada manusia lain dengan tenaga, ilmu, pikiran, kuasa, wang dan lain-lain itu adalah lebih besar. Buktinya orang yang banyak ibadah pun tidak sanggup hendak berbakti, mengabdi atau berkorban apa yang ada padanya untuk manfaat orang lain.
Orang bertaqwa tidak larut dalam dosa. Kalau dia sadar dia telah mengerjakan perbuatan dosa, sehari suntuk jiwanya akan merasa tersiksa. Dia merasa menyesal, menderita dan dukacita. Dia akan mengerjakan ibadah-ibadah tambahan yang lain untuk menutup dan menebus dosa-nya itu.
Begitulah kategori orang-orang Islam berdasarkan apa yang disebut dalam Quran dan Hadis sebagai zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Mengikut kategori-kategori ini, barulah kita tahu dan sadar tentang letak duduk orang bertaqwa dibanding orang yang abai, cuai dan lalai. Umat Islam sekarang ini hina-dina di mana-mana, tidak dibantu, tidak dilindung dan tidak dibela oleh tuhan kerana orang Islam yang bertaqwa terlalu sedikit jumlah-nya. la masih kumpulan minoritas. Yang terbanyak ialah orang Islam yang abai, diikuti orang Islam yang cuai dan lalai. Tuhan tidak membantu dan tidak membela orang Islam yang abai, cuai dan lalai ini. Tuhan hanya akan membantu orang Islam yang bertaqwa sahaja. Di Akhirat nanti, hanya orang yang bertaqwa saja yang akan selamat.
0 Komentar